Oct 9, 2011
Jogjakarta
Daerah Istimewa Yogyakarta (atau Jogjakarta) adalah sebuah provinsi di Indonesia yang terletak di bahagian selatan Pulau Jawa dan bersempadan dengan Provinsi Jawa Tengah di sebelah utara. Daerah tersebut dilanda oleh bencana gempa bumi pada 27 Mei 2006 yang mengakibatkan 1.2 juta orang tidak memiliki rumah.
Ekonomi
Sebahagian besar ekonomi Yogyakarta disokong oleh pertanian, perdagangan, perindustrian (industri logam perak, industri wayang kulit, dan industri kraftangan), dan pelancongan.
Merupakan pemandangan yang biasa ketika anda sampai di Stesen Yogyakarta atau di tempat perhentian bas-bas pelancong, anda akan disambut oleh banyak pemandu beca tiga roda. Mereka akan menghantar anda ke mana-mana sahaja yang anda suka seperti kedai baju, kawasan membeli-belah, atau sekadar membeli cenderamata. Anda pun akan berasa hairan bahawa setelah pemandu beca mengajak anda mengelilingi kota sepanjang hari, mereka hanya meminta bayaran yang sedikit. Sebenarnya, mereka ternyata sudah mendapat bahagian untung mereka daripada kedai-kedai yang anda beli barang-barang.
Pemerintahan
Dasar falsafah pembangunan daerah Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta ialah Hamemayu Hayuning Bawana sebagai cita-cita yang mulia untuk menyempurnakan tata nilai kehidupan masyarakat Yogyakarta berdasarkan nilai budaya daerah yang perlu dikekalkan dan dikembangkan.
Pemerintahan Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta dimulakan pada tahun 1950 melalui UU Nombor 3 Tahun 1950 tentang Pembentukan Daerah Istimewa Yogyakarta oleh negara bahagian Republik Indonesia (Yogyakarta). Namun asal usul Daerah Istimewa Yogyakarta dapat dirunut mulai dari tahun 1945, diawali dengan maklumat/mandat Sultan Hamengkubuwono IX dan Paku Alam VIII secara berasingan terhadap penggabungan kedua-dua daerah ke dalam Republik Indonesia.
Pendidikan
Kota Yogyakarta selain daripada dijuluki sebagai Kota Gudeg, juga dijuluki sebagai Kota Pelajar. Di kota ini, terdapat Universiti Gadjah Mada (UGM), universiti negeri yang tertua di Indonesia, serta juga berbagai-bagai universiti swasta terkenal yang lain seperti UPN "Veteran", AMIKOM, STIE SBI, Universiti Kristian Duta Wacana (UKDW), Universiti Islam Indonesia (UII) yang merupakan universiti swasta tertua di Indonesia, dan Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY), selain daripada Institut Kesenian Indonesia (ISI) dan Universiti Negeri Yogyakarta (UNY). Sebahagian besar penduduk di kota ini dikatakan memiliki pendidikan sehingga peringkat SMU.
Pengangkutan
Stesen kereta api Yogyakarta.
Pengangkutan yang ada di Yogyakarta terdiri dari pengangkutan darat (bas awam, teksi, kereta api, andhong (kereta berkuda), dan beca) serta pengangkutan udara (kapal terbang). Jalan-jalan raya di Yogyakarta kini sudah lebih rapi dan bersih, berbanding dengan tahun-tahun terdahulu kerana komitmen pemerintah daerah Yogyakarta untuk menjadikan Yogyakarta sebagai sebuah kota pelancongan (terbukti dengan ditempatkannya sebuah TV raksasa di salah satu jalan raya Yogyakarta serta juga papan stesen kereta api). Walaupun demikian, jalan-jalan raya di Yogyakarta masih sering mengalami kesesakan lalu lintas.
Kebudayaan
Yogyakarta masih sangat amat dipengaruhi oleh kebudayaan Jawanya. Seni dan budaya merupakan sebahagian yang tidak terpisah daripada kehidupan masyarakat Yogyakarta. Sejak dari masa kanak-kanak sehingga kedewasaan, masyarakat Yogyakarta sering menyaksikan dan mengikuti berbagai-bagai acara kesenian dan kebudayaan di kota ini. Bagi masyarakat Yogyakarta, setiap tahap kehidupan mempunyai erti tersendiri, dengan tradisi merupakan sesuatu hal yang penting yang masih diamalkan sehingga saat ini. Tradisi juga pasti tidak lepas daripada kesenian yang disajikan dalam upacara-upacara tradisi tersebut. Kesenian yang dimiliki masyarakat Yogyakarta sangatlah beragam. Kebudayaan khas di Yogyakarta termasuk pementasan ketoprak, jathilan, dan wayang kulit, antara lain.
Destinasi pelancongan
Destinasi pelancongan yang menarik di Yogyakarta termasuk:
• Malioboro
• Istana Air Taman Sari
• Monumen Jogja Kembali
• Muzium Keraton, Muzium Sonobudoyo
• Lereng Merapi
• Kaliurang
• Pantai Parangtritis, Pantai Baron, Pantai Samas
• Gua Selarong
• Candi Prambanan, Candi Sewu, dan Candi Mendut.
Yogyakarta terkenal dengan makanan yang enak, murah, berkhasiat sekaligus menimbulkan nostalgia orang-orang yang pernah singgah atau tinggal di kota ini. Terdapat juga gerai-gerai angkringan dengan:
• menu-menu khas mahasiswa
• mi godhog di Pojok Beteng
• sate arnab di Kaliurang serta sate karang di Kotagedhe
• jadah Mbah Carik
• sego abang Njirak Gunung Kidul
dan banyak lagi tempat makan pelancong yang lain.
sumber : Wikipedia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment